- Back to Home »
- Pengenalan Pusat Tahfiz Al Amin
Pusat
Tahfiz Al Amin (PTAA) ditubuhkan pada tarikh 5hb Januari 2011 bersamaan 30
Muharam 1432. Tertubuhnya pusat tahfiz ini adalah berikutan kesedaran
masyarakat setempat terhadap kepentingan mewujudkan generasi Al-Quran di kalangan
anak muda pada masa sekarang.
Keperihatinan
seorang penduduk di sini mewakafkan penempatan pengajian di sebuah bangunan
memudahkan kerja ahli jawatankuasa pengurusan. Individu yang dimaksudkan adalah
Cikgu Hj Mustapa Bin Md Taib. Setelah melalui pelbagai rintangan dan cabaran,
PTAA kini telah berjaya direalisasikan.
Walaupun
PTAA dianggap masih muda jika
dibandingkan dengan pusat-pusat tahfiz lain yang wujud di sekitar daerah ini, tetapi
ia mendapat sambutan yang menggalakkan dari segi permintaan untuk menempatkan
anak belajar daripada penduduk tempatan. Sehingga kini sekitar 50 orang pelajar
telah didaftarkan untuk menuntut di sini. Memandangkan kapasiti asrama yang
terhad, maka pengambilan pelajar terpaksa dihadkan. 2 orang ustaz merangkap
warden tetap telah dilantik untuk menjaga hal ehwal pelajar dan seramai 4 orang ustaz telah didatangkan
dari luar untuk mengajar beberapa cabang ilmu kepada penuntut di sini. Selain
menghafal Al-Quran, ilmu lain juga diajarkan kepada para hafiz, antaranya ilmu
Hadis, Tauhid, Fekah dan Sirah Nabi S.A.W. Mata pelajaran akademik asas seperti
Sains, Matematik,Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris juga diterapkan.
Hasrat kami
dalam mendirikan infrustruktur baru ini ialah mewujudkan suasana pengajian madrasah
yang berkonsepkan dengan sistem madrasah yang moden, dimana sistem pelajarannya
akan dilengkapi dengan suasana yang sesuai dengan peredaran zaman yang sekarang
ini dikatakan generasi baru atau lebih dikenali dengan generasi z. Suasana
moden yang dimaksudkan adalah seperti kelengkapan Komputer, Projector, Slaid
Screen, Video, Perpustakaan, bilik kegiatan murid, ruangan bilik program khas
dan sistem komunikasi broadcast, sistem begini dianggap satu pembaharuan jika
dibandingkan dengan sistem madrasah yang lain yang kurang memfokaskan kepada
perkara – perkara tersebut.
Sistem
pondok tradisional ialah mengaji kitab lama dari kulit ke kulit tetapi sekarang
ini tanpa sijil, pelajar tidak boleh menyambung pengajian. Oleh itu hajat PTAA
agar pelajar perlu untuk menyaingi institusi yang sedia ada dengan melahirkan
pelajar – pelajar yang sampai keperingkat sijil atau diploma.
InsyaaAllah dengan tertubuhnya
PTAA ini diharap lebih ramai hafiz dapat
dilahirkan di tanah air kita demi mewujudkan kesinambungan ilmu para Anbia dan
Alim Ulama seterusnya dapat menegakkan syariat Islam di negara ini.